Sagu


Masyarakat Melanau terkenal dengan makanan tradisionalnya iaitu sagu. Satu kajian telah  dilakukan di kampung Tellian Tengah. Kajian yang kami lakukan adalah bertumpu di rumah penduduk asal yang menghasilkan sagu iaitu Augustine Anyub bin Kusau yang berusia 79 tahun dan anaknya iaitu Catherine binti Augustine Anyub serta menantunya Osman.

Menurut Augustine Anyub, beliau menggelar sebagai pokok mulong namun beliau juga menyatakan nama lain bagi pokok mulong adalah pokok rumbia dan pokok sagu. Sejarah pokok mulong menurut beliau adalah berasal daripada Negara China. Beliau mengatakan bahawa pedagang dari China membawa pokok mulong ke Mukah, Sarawak. Berdasarkan cerita Augustine  Anyub, pedagang China ini hanya membawa dua batang pokok sahaja. Kawasan yang terdapat banyak pokok mulong di Mukah adalah dari kawasan Ulu Mukah dan Dalat.

Dari sudut geografinya pula, tanah yang sesuai untuk menanam pokok mulong ialah tanah gambut. Tempoh pokok mulong matang bergantung kepada kesuburan tanah. Cara penanaman pokok mulong adalah dengan menggali sedikit lubang dan seterusnya memasukkan  anak pokok tersebut ke dalam lubang yang telah digali itu tadi. Selepas itu, dua kayu akan dipacak secara berpalang merentasi anak pokok tersebut. Fungsi kayu yang berpalang adalah untuk mengelakkan anak pokok mulong dihanyutkan oleh air. Jangka masa untuk menebang pokok mulong adalah dalam tempoh 13 tahun. Beliau menyatakan juga tunas pokok mulong sentiasa bercambah selepas proses penebangan pokok mulong.

Mengikut aspek kepercayaan pula, proses penebangan pokok mulong mempunyai pantang larangnya tersendiri. Antara pantang larangnya ialah sekiranya terdapat tikus yang melintasi kawasan pokok mulong tersebut, maka pokok mulong tersebut tidak boleh ditebang kerana kemungkinan ada orang yang meninggal umpama kita membaling batu kepada orang yang meninggal tersebut. Pantang larang seterusnya ialah  sekiranya terdapat  ular yang melintas ketika ingin menebang pokok mulong, kita boleh dianggap seperti mengikat keranda orang yang  sudah mati dengan menggunakan tali. Kepercayaan ini dipercayai sehingga ke hari ini. Selain itu, sebelum pergi menebang pokok, jika terdapat seekor ayam yang melintasi perahu, kita tidak boleh menebang pokok mulong. Hal ini kerana mengikut kepercayaan mereka akan berlaku sesuatu bencana.

Pantang larang yang seterusnya dalam menebang pokok mulong, adalah jika terdengar bunyi seekor burung “Bukeng” , siulan burung tersebut perlulah didengar dengan teliti sebelum menebang pokok mulong, hal ini kerana jika kali pertama mendengar siulan burung tersebut maka dilarang untuk menebang pokok tersebut. Namun jika siulan burung tersebut didengar berulang kali maka penebangan pokok mulong dibenarkan. Siulan burung tersebut membawa maksud siulan yang pertama memberitahu terdapat saudara yang terdekat yang meninggal manakala jika siulan tersebut berulangkali bererti tiada apa-apa yang berlaku. Setelah didengari segala pantang larang tersebut, mengikut kepercayaan kaum melanau itu sendiri segala pantang larang itu membawa maksud ada hantu yang memberitahu kepada burung “Bukeng” dan burung tersebut menyampaikan kepada manusia. Walaubagaimanapun, segala pantang larang yang dinyatakan oleh Augustine Anyub tersebut tidak lagi diguna pakai pada masa sekarang.


Ilmu penebangan pokok mulong dan pemprosesan pokok mulong menjadi tepung lemantak (sagu) telah diberikan sepenuhnya kepada Osman iaitu menantu beliau sendiri. Bagi Osman kerja-kerja penebangan dan pemprosesan pokok mulong adalah untuk dirinya sendiri, namun jika terdapat lebihan barulah beliau menjual kepada orang lain. Proses penebangan pokok mulong mengambil masa yang lama dan juga tenaga yang banyak. Langkah pertama adalah mengenal pasti jenis pokok mulong yang hendak ditebang terlebih dahulu, selepas itu penggunaan mesin gergaji (jingsaw) untuk menebang pokok.  Sebatang pokok mulong apabila dibahagikan kepada 30 inci boleh dipotong kepada lapan bahagian. Lapisan pokok mulong adalah tiga lapisan , iaitu lapisan yang pertama sebelum ditebang pokok mulong lapisan yang pertama perlu dibersihkan menggunakan parang. Lapisan yang kedua adalah setelah ditebang dan sebelum dibahagikan kepada lapan bahagian. Dan lapisan terakhir adalah setelah direndam dalam air selama 20 hari.

Selepas proses penebangan pokok mulong, bahagian-bahagian tersebut digolekkan menuju ke tebing sungai. Seterusnya bahagian-bahagian tersebut ditolak terus ke dalam sungai sebelum diikat menggunakan tali. Bahagian-bahagian tersebut disatukan menjadi seperti rakit kemudian ditarik menggunakan perahu atau tenaga manusia itu sendiri. Bahagian-bahagian tersebut boleh ditarik menggunakan perahu jika air sungai pasang, jika air sungai tersebut surut maka tenaga  manusia diperlukan untuk menarik bahagian-bahagian tersebut.  Sebaik sahaja selesai proses penebangan pokok, bahagian-bahagian kecil pokok mulong tersebut direndam dan dibiarkan selama 20 hari di dalam sungai untuk  memastikan sagu yang diproses mempunyai isi yang mencukupi, selain itu proses merendam tersebut adalah untuk mengelakkan daripada dimakan oleh ulat.


Pokok Sagu yang sedia untuk ditebang. Masyarakat Melanau menggelarnya pokok Mulong.


Pokok Sagu dikikis-kikis untuk membuang kulit kerasnya bagi memudahkan proses penebangan.

Pokok sagu yang telah ditebang.


Proses memotong pokok sagu. Setiap kerat berukuran 13 inci.

Keadaan pokok sagu yang telah dipotong menjadi bahagian-bahagian yang kecil.





Pokok sagu digolekkan sehingga ke sungai.

Ditolak ke dalam sungai untuk diikat.

Diikat bagi memudahkan proses memindahkan.




PROSES TEPUNG LEMANTAK

Proses pertama untuk menjadikan tepung lemantak adalah bahagian-bahagian kecil pokok mulong dibuang kulit yang keras dan dibelah kepada bahagian yang lebih kecil.  Bahagian kecil tersebut dimasukkan ke dalam mesin parut untuk mengasingkan hampas dan isi sagu tersebut. Mengikut Osman dan isterinya  Catherine, proses pemparutan mengambil masa setengah hari jika jumlah pokok mulong yang dibelah-belah adalah lima batang.  Mesin parut tersebut mempunyai beberapa bahagian iaitu bahagian parut, bahagian penapisan, bahagian pengaliran air, bahagian pembuangan hampas (pow) dan bahagian mengaliran pati sagu.
Setelah diparut menggunakan mesin ciptaannya sendiri, isi yang diparut diairi untuk mendapatkan pati sagu seperti proses memerah santan dari kelapa yang diparut.  Isi yang diparut itu melalui bahagian penapisan dan diperah kemudiannya diasingkan dari hampas atau dalam bahasa Melanau hampas pokok mulong dipanggil ‘pow’ . Hampas tersebut dialirkan ke kawasan sungai. Kitaran air yang menggunakan sepenuhnya air sungai sentiasa bergerak kerana pemprosesan tepung lemantak ini memerlukan air yang banyak untuk mengasingkan setiap bahagiannya.

Setelah diparut, sabut pokok mulong dibuang. Hampas bersama isi sagu yang tinggal dipisahkan menggunakan penapis besar yang dibuat oleh pak cik itu sendiri. Isi sagu yang terkumpul dialirkan ke dalam ‘jalur’ iaitu sejenis kayu belian yang dibuang isi dalamnya. Menurut Osman, ‘jalur’ yang ada pada beliau adalah daripada peninggalan datuknya. Jalur tersebut di beli daripada orang Iban dengan harga 30 ringgit. Sekarang kata beliau, ‘jalur’ susah untuk didapati lagi kerana kekurangan kayu belian. Terdapat air di dalam ‘jalur’ tersebut untuk memendakkan isi sagu. Setelah selesai semua, isi sagu bersama air yang terdapat dalam ‘jalur’ di buang airnya. Setelah air dibuang, isi sagu tersebut di masukkan di dalam pasu dan sedia untuk dikeringkan.

Proses pengeringan menggunakan ‘tanudak’ adalah sejenis bahan yang menggunakan buluh yang dikait. Setelah dikeringkan dalam keadaan cuaca yang panas. Tepung lemantak sedia untuk diproses menjadi bahan makanan harian masyarakat Melanau seperti linut, tebaloi biji sagu dan sebagainya.



BIJI SAGU
Biji sagu merupakan salah satu makanan harian bagi penduduk kampung Tellian. Jika dahulu, biji sagu juga adalah makanan utama mereka berbanding nasi. Hal ini kerana kawasan perkampungan mereka bukan dari tanaman padi. Penghasilan sagu mempunyai banyak proses yang akan dikendalikan dan jangka masa untuk membuat sagu juga tidak kurang dari satu hari. Kebanyakkan barang-barang yang digunakan untuk membuat sagu daripada pokok yang berhampiran dikawasan rumah mereka. Biji sagu dihasilkan dengan menggunakan tepung lemantak. Tepung lemantak yang telah dibasuh sehingga menjadi warna putih-keputihan. Hal ini adalah untuk memastikan kebersihan tepung lemantak itu sendiri. Tepung lemantak akan dikeringkan bagi memudahkan proses penghasilannya. Selepas itu, tepung lemantak akan dicampur dengan kelapa parut kering (kerisik), dedak padi, santan, dan garam . Kesemua bahan tadi hendaklah ditumbuk lumat supaya mudah diadun. Sebahagian dari penduduk yang menghasilkan sagu, menggunakan mesin kelapa untuk dijadikan adunannya. Setelah siap, kesemua adunan tadi akan diayak di dalam ‘takung’. ‘Takung’ merupakan acuan khas yang diperbuat daripada batang pokok buluh. Adunan yang telah diayak di dalam takung digelek menggunakan ‘gaah’. ‘Gaah’ merupakan sejenis alat khas yang dianyam menggunakan daun pokok nipah. Selepas itu, gelekan tersebut akan menghasilkan adunan yang berbentuk bulat melalui lubang-lubang yang sedia ada.

Adunan sagu yang digelek tadi diulang dan dimasukkan semula di dalam ‘takung’ bagi mendapatkan bentuk bulat yang sekata. Bentuk bulat yang lebih kecil akan keluar semula dari takung tersebut manakala bentuk bulat yang mempunyai saiz yang sama dengan jaringan takung tidak akan terkeluar semasa diayak. Saiz tersebutlah yang sedia untuk di bakar. Adunan yang terkeluar daripada takung tersebut akan digelek semula dan proses yang sama berulang sehingga tepung habis. Setelah siap digelek, biji sagu yang tertinggal di dalam takung tersebut sedia untuk dibakar. Proses pembakaran dimulakan dengan memanaskan belaga yang diperbuat daripada tanah liat dan bata. Setelah belaga betul-betul panas, biji sagu diletakkan di atas belanga dan dibakar. Pembakaran ini juga tidak menggunakan minyak. Biji sagu harus sentiasa di ratakan menggunakan penyapu lidi bagi memastikan pembakaran seimbang. Masa untuk proses pembakaran ini mengambil masa yang lama iaitu lebih kurang 5jam untuk menjadikan biji sagu menjadi rangup dan sedap untuk dimakan. Biji sagu yang siap dibakar di masukkan di dalam tin dan sedia untuk di jual kepada pelanggan.



PROSES PENGHASILAN BIJI SAGU

Tepung lemantak yang telah dibasuh sehingga menjadi warna keputihan bagi memastikan kebersihannya. Dikeringkan bagi memudahkan proses penghasilannya.

Tepung lemantak dicampur dengan kelapa parut kering, dedak padi, santan, dan garam yang telah ditumbuk lumat. Adunan tadi diayak di dalam ‘takung’ yang merupakan acuan khas yang diperbuat daripada batang pokok buluh.

Adunan yang telah diayak di dalam takung digelek menggunakan ‘gaah’ sejenis alat khas yang dianyam menggunakan daun pokok nipah. Gelekan tersebut akan menghasilkan adunan yang berbentuk bulat.

Adunan sagu yang digelek tadi dimasukkan semula di dalam ‘takung’ bagi mendapatkan bentuk bulat yang sekata. Bentuk bulat yang lebih kecil akan keluar semula dari takung tersebut manakala, bentuk bulat yang mempunyai saiz yang sama dengan jaringan takung tidak akan terkeluar semasa diayak. Saiz tersebutlah yang sedia untuk di bakar. Adunan yang terkeluar daripada takung tersebut akan digelek semula dan proses yang sama berulang.

Biji sagu di dalam takung tersebut sedia untuk dibakar.


Proses pembakaran dimulakan dengan memanas belaga yang diperbuat daripada tanah liat dan bata.


Setelah belaga betul-betul panas, biji sagu tersebut di bakar di atasnya tanpa menggunakan minyak. Biji sagu harus sentiasa di ratakan menggunakan penyapu lidi bagi memastikan pembakaran seimbang.


Biji sagu yang siap dibakar di masukkan di dalam tin dan sedia untuk di jual kepada pelanggan.

disediakan oleh:
Penulisan: Ceney Fey, Azwarin, Siti Aishah
Penemu duga: Azira, Siti Aishah, Azwarin
Video: Siti Aishah, Marlini, Kak sue, Azwarin, Daini
Video editing: Khusaini, Daini, Azwarin
Photograph: Lim Yew Heng, Davis, Nadia, Geps, Rosyatimah
Lakaran: Rosyatimah, Joseph, Atiqah, Hayah