Bebayoh

    Menurut Augustine Bin Aanyub 79 tahun , yang berasal dari Kampung Tellian Hulu mengatakan bahawa bebayoh dan berayun adalah upacara yang sama dalam perubatan untuk mengubati pesakit. Orang yang bebayoh dipanggil ‘sebilak’. Upacara bebayoh menggunakan mayang pinang dan juga bunga-bungaan yang wangi. Upacara ini menggunakan bahasa melanau untuk menjampi pesakit. Semasa upacara ini dijalankan, pesakit yang akan dirawat berada dalam keadaan baring ataupun duduk. Pesakit akan dimandikan dengan air bunga yang telah diisi dalam bekas, manakala mayang pinang pula akan diusap di kepala pesakit. Menurut beliau juga, bebayoh juga dipanggil berayun. Berayun merupakan permulaan kepada upacara bebayoh. Upacara ini dilakukan dirumah dan dilakukan pada waktu malam. Orang yang sakit akan berayun manakala orang yang bebayoh pula akan menolak orang yang sakit supaya berayun. Berayun menggunakan rotan yang digantung pada kedua-dua tiang dan terdapat loceng disebelah kanan dan kiri rotan tersebut. Upacara ini dijalankan selama seminggu. 

    Manakala bagi Marpok bin Sarbuna,84 tahun yang berasal dari Kampung Tellian Hulu pula mengatakan bahawa bebayoh dan berayun adalah dua upacara yang berbeza dalam kepercayaan untuk mengubati pesakit. Orang yang dirasuk, akan diubati dengan cara bebayoh. Dalam upacara ini, aktiviti bergendang akan dijalankan. Bergendang akan dimainkan oleh kaum lelaki dan juga perempuan secara silih berganti. Upacara ini menggunakan kemenyan, minyak dan bunga yang wangi seperti bunga kasturi untuk memandikan pesakit. Menurut beliau, berayun pula merupakan upacara yang mana pesakit itu berayun diatas rotan halus yang dipanggil rotan sigar. Aktiviti berayun menggunakan empat tali untuk pesakit berayun. Dalam masa yang sama, aktiviti bergendang turut dijalankan selama tujuh malam. Selepas tujuh hari, rotan tersebut akan dibuka. 

    Sementara bagi Kudat bin Meguok, 78 tahun merupakan Ketua Adat Kampung Tellian Hulu, tidak menyatakan tentang bebayoh tetapi menjelaskan tentang berayun. Menurut beliau, upacara berayun berbentuk segiempat yang mempunyai empat tiang dimana dua dikanan dan juga dua dikiri.Pada tiang tersebut, diletakkan rotan sigar untuk pesakit berayun. Upacara ini dilakukan pada waktu malam di antara jam tujuh hingga dua belas malam. Upacara ini dilakukan dirumah dan upacara bergendang juga turut dilakukan. Muzik yang dimainkan adalah berbeza. Berayun dan bergendang dilakukan tanpa henti dan orang yang bergendang silih berganti. 

    Menurut Raini bin Rini, 43 tahun yang merupakan penduduk Kampung Tellian Mukah, bayoh adalah satu perubatan tradisional yang hanya diwarisi oleh orang tertentu sahaja. Bapanya Rini bin Inyou, 91 tahun merupakan orang yang masih melakukan perubatan bebayoh. Beliau mewarisi daripada datuk neneknya. Biasanya upacara bebayoh ini dilakukan pada waktu petang. Antara peralatan yang diperlukan dalam upacara bebayoh ialah gendang, bara api, kemenyan, daun tebawan, minyak ludar (cap duyung), buah kelapa, lilin, bunga untuk mandian dan pisau lipat sebagai pengeras. Peralatan ini mempunyai kegunaannya yang tersendiri contohnya seperti minyak ludar. Minyak ludar diperlukan untuk menyapu permukaan gendang itu kerana dipercayai wangian daripada minyak tersebut dapat menyeru roh-roh yang akan membantu dalam upacara bebayoh ini. Terlebih dahulu gendang akan disapu dengan minyak ludar, kemudian gendang tersebut diletakkan di atas bara api kerana menurut dukun, gendang akan berbunyi lebih nyaring apabila dipanaskan. Kemudian, daun tebawan pula, akan diasapkan dengan kemenyan. Selepas itu, dukun yang bebayoh akan mula memukul gendang dan menyeru epok (roh) sambil membaca mantera-mantera tertentu dalam bahasa Melanau. Upacara ini dimulakan dengan membakar kemenyan dan membiarkan asap daripada pembakaran kemenyan tersebut di udara. Kemudian daun tebawan diasapkan diatas asap dan disapukan pada pesakit. Kaedah ini dinamakan “sumpit”. Sumpit ini bertujuan untuk membuang makhluk-makhluk halus daripada badan pesakit. Penyakit yang dihadapi oleh pesakit akan dikeluarkan melalui daun tersebut. 

    Menurut Raini lagi, semua penyakit boleh menggunakan daun tebawan sebagai bahan untuk membuang makhluk halus daripada badan pesakit. Selain menggunakan daun tebawan daun sireh pinang juga boleh digunakan serta bunga digunakan untuk mandi dan hanya orang yang mengubat sahaja boleh memandikan pesakit. Penyakit yang dihadapi oleh pesakit akan dibuang melalui air mandian tadi. Pantang larang semasa dalam proses berubat, pesakit tidak boleh menyentuh ikan mentah selama tiga hari. Sekiranya pesakit ingin makan, orang lain perlu menyediakannya dan jika pesakit ingkar dengan pantang larang tersebut, ini akan memudaratkan lagi penyakit yang dihadapi oleh pesakit, malah boleh membawa kematian. Lilin pula digunakan untuk melihat sejauh mana jangka hayat pesakit. Pesakit akan diminta menyalakan lilin dan kemudian orang yang mengubat akan melihat nyalaan lilin tersebut. Menurut Rini, sekiranya nyalaan lilin itu kuat, ini bermaksud hayat pesakit tersebut masih panjang tetapi sekiranya nyalaan lilin tersebut lemah seperti lampu yang tiada minyak, ini bermaksud hayat pesakit tersebut pendek. 

    Setelah tamat upacara dilakukan, segala bahan yang digunakan semasa upacara dilakukan seperti daun tebawan dan lilin akan diletakkan di dalam buah kelapa kemudian buah kelapa itu akan dihanyutkan di dalam sungai. Hal ini kerana segala penyakit akan dihanyutkan bersama dengan buah kelapa tersebut. Tetapi untuk mengambil buah kelapa tersebut, terdapat syarat iaitu, buah kelapa tidak boleh jatuh ke atas tanah kerana dipercayai tidak mujarab. Sebelum memetik buah kelapa perlu meminta izin terlebih dahulu, kerana tidak boleh mengambilnya sesuka hati. 



Fig. 1 Arang yang digunakan untuk membakar kemenyan 



Fig. 2 Rini membakar kemenyan sebelum memulakan upacara bayoh 



Fig. 3 Daun tebawan yang digunakan semasa upacara bebayoh 



Fig. 4 Gendang diletakkan di atas asap untuk menyaringkan lagi bunyi pukulan gendang 



Fig. 5 Rini mengasap daun tebawan di atas asap kemenyan 



Fig. 6 Upacara sumpit untuk mengeluarkan makhluk-makhluk halus 




Fig. 7 Gendang yang digunakan untuk memanggil roh 



Fig. 8 Rini melihat nyalaan lilin 


Pisau lipat dijadikan sebagai pengeras. Walaubagaimanapun, pisau lipat ini mestilah yang baru dan belum digunakan. Hal ini kerana pisau lipat dipercayai sebagai pengganti diri pesakit, sekiranya pesakit memberi pisau lipat yang sudah digunakan, ia memudaratkan lagi diri pesakit. Pisau lipat yang sudah digunakan bermakna pisau tersebut tidak tahan lama, begitu juga dengan diri pesakit yang tidak akan bertahan lama dan sebaliknya. Hal yang demikian pisau lipat diperlukan sebagai pengeras. Selain pisau lipat, pesakit juga boleh memberi benda lain seperti duit atau bahan makanan kepada orang yang mengubat sebagai pengeras tetapi hendaklah ikhlas dari dalam hati.