Location

MUKAH

    Mukah merupakan salah satu bahagian dalam Negeri Sarawak yang penuh dengan kepelbagaian etnik dan budaya termasuklah masyarakat Melanau. Masyarakat Melanau bukan hanya tertumpu di Mukah tetapi banyak kawasan lain yang menempatkan masyarakat melanau. Satu kajian untuk mengenali lebih mendalam mengenai masyarakat melanau telah dilakukan di Mukah iaitu tempat yang terkenal dengan etnik dan adat-istiadat masyarakat melanau. Masyarakat melanau terdiri daripada melanau Islam, malanau Kristian dan melanau Pagan. 

    Kebanyakkan masyarakat luar dari Sarawak menganggap semua masyarakat melanau adalah sama tetapi sebenarnya ia berbeza mengikut kawasan. Ini terbukti apabila kajian dilakukan di Kampung Tellian, Mukah. Kampung Tellian terbahagi kepada Kampung Tellian Daya (asalnya Kampung Tellian Ulu), Kampung Tellian Hilir dan Kampung Tellian Tengah. Kajian lebih tertumpu kepada adat, ritual dan makanan tradisional masyarakat melanau. 

    Dengan keunikan yang tersendiri telah menarik perhatian masyarakat luar untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang etnografi masyarakat Melanau yang lebih tertumpu di bahagian Mukah. Kajian terhadap Kampung Tellian Mukah juga masih menitikberatkan status sosial. Adat perkahwinan ini juga berbeza mengikut pangkat seperti 7 bertirih, 7 pikul dan 9 pikul. Masyarakat ini berbeza mengikut tempat dan perkampungan. Malah dialek setiap tempat ini berbeza-beza mengikut suku kaum Melanau itu sendiri. Kebanyakkan penduduk kampung Tellian menghasilkan sagu dan tebaloi yang sinonim sebagai salah satu makanan turun temurun yang menjadi sumber pendapatan mereka. Perubatan tradisional dan kepercayaan juga masih dipercayai sampai sekarang seperti bayoh, jerunai, kubur gantung dan batang pagan.


KAMPUNG TELLIAN
    Menurut Lai Mayan Gabong, Kampung Tellian ini terletak di bahagian Mukah Sarawak. Mukah yang terkenal dengan pelbagai masyarakat serta kaum. Selain itu juga, ia dikenali dengan kumpulan etnik yang sukar diasingkan dengan etnik-etnik lain walaupun dalam satu kejiranan. Masyarakat Mukah yang tertumpu kepada Melanau Mukah mempunyai corak kehidupan, sistem pekerjaan serta adat yang yang kuat dan tidak dilupakan sehingga hari ini. Walaupun begitu, ada juga perkara yang telah berubah mengikut peredaran zaman. Masyarakat yang masih tinggal di kampung Tellian juga mengalami keadaan yang sama. Sesetengah perkara sahaja masih diamalkan dan sesetengah lagi telah ikut peredaran zaman.

    Keluasan Kampung Tellian Ulu lebih besar daripada Kampung Tellian Tengah. Kebanyakkan mereka bekerja dengan mengusahakan sagu, lemantak dan tebaloi sebagai punca pendapatan sejak turun temurun lagi. Masyarakat Melanau tidak mengutamakan nasi sebagai makanan utama tetapi menjadikan sagu sebagai makanan yang penting. Hal ini berlaku kerana kehidupan mereka tidak mempunyai bendang sawah padi. Kegiatan ekonomi mereka seperti berkebun mulong (pokok rumbia) masih dikekalkan sehingga hari ini.

    Kampung Tellian mempunyai 2 buah kampung yang di jaga oleh seorang ketua penghulu. Kampung tersebut ialah Kampung Tellian Ulu dan juga Kampung Tellian Tengah. Di kawasan Kampung Tellian Ulu, terdapat 1980 orang penduduk dan 248 pintu (rumah) manakala di Kampung Tellian Tengah pula mempunyai 1600 orang penduduk dan 190 buah pintu. Pada zaman sebelum ini, penduduk Kampung Tellian hidup dalam keadaan berpindah randah demi perjalanan hidup yang akan dijalani.


SUKU KAUM
    Di kampung Tellian Ulu dan Tengah mempunyai 4 bangsa iaitu Melanau Melayu, Melanau Tulen, Melanau Cina, dan Melanau Iban. Pertuturan dan dialek mereka pun berbeza mengikut bangsa masing-masing. Namun begitu, dialek mereka mudah difahami tetapi nada percakapan tidak sama sebenarnya. Di kampung Tellian Tengah majoriti beragama kristian manakala di Kampung Tellian Hulu, mereka dari golongan Pagan (tidak beragama) dan Kampung Tellian Hilir kebanyakkanya beragama Islam.