Tabaloi


Tabaloi merupakan makanan tradisional Kaum Melanau. Tabaloi diproses dengan dua cara iaitu dengan menggunakan cara tradisional atau moden. Satu kajian Etnografi tentang cara- cara pembuatan Tabaloi telah dijalankan di Kampung Tutus Hilir, Mukah. Di kampung tersebut, lokasi kajian adalah bertempat di kilang pengusaha Tabaloi milik Puan Fatimah.


Menurut penduduk kampung, asal-usul Tabaloi adalah tidak begitu diketahui. Penduduk kampung menceritakan bahawa Tabaloi merupakan snek yang dimakan semasa mereka menjalankan proses membuat sagu. Tabaloi pada zaman dahulu adalah berbeza berbanding Tabaloi yang dihasilkan pada zaman sekarang. Pada zaman dahulu, Tabaloi dihasilkan secara tradisional dengan menggunakan belanga yang besar. Peralatan yang digunakan adalah berbeza kerana belanga yang digunakan adalah ditebuk lubang di bahagian bawahnya. Dalam cara pembuatan tradisional, satu adunan Tabaloi akan mengambil masa selama 1 hari untuk diadun iaitu dari pukul 4 pagi sehingga pukul 7 malam. Manakala pembuatan cara moden pula, Tabaloi dihasilkan dengan menggunakan mesin iaitu mesin parut kelapa, mesin pengadun dan ketuhar.

Tabaloi yang diusahakan oleh Puan Fatimah terdiri daripada 5 perisa. Pada sekitar tahun 1990an, Tabaloi yang dihasilkan adalah tanpa sebarang perisa iaitu berperisa asli. Manakala sekitar tahun 2000, Tabaloi mula dihasilkan dengan berperisa. Tabaloi berperisa yang mula-mula dihasilkan adalah Tabaloi berperisa kunyit. Pada tahun 2010, Tabaloi telah dihasilkan berperisa strawberi, milo, dan pandan. Pada masa akan datang, Puan Fatimah bercadang untuk meningkatkan lagi kualiti Tabaloi yang dihasilkannya iaitu dengan menambahkan lagi perisa-perisa yang sedia ada dalam Tabaloi. Menurut beliau, Tabaloi yang paling digemari oleh masyarakat Malanau adalah Tabaloi berperisa kunyit. Walau bagaimanapun, Tabaloi berperisa asli tetap mendapat sambutan dalam kalangan Masyarakat Melanau.




Dalam proses pembuatan Tabaloi cara tradisional, bahan- bahan yang diperlukan adalah telur itik, daun pisang emas, tepung sagu dan isi kelapa. Manakala dalam proses pembuatan moden pula, bahan- bahan yang diperlukan adalah telur ayam, tepung sagu,isi kelapa, daun pisang emas, perisa tambahan lain seperti kunyit, milo, strawberi dan pandan. Pembuatan Tabaloi terdiri daripada beberapa proses: 


Proses 1 

1. Kalapa dan gula diadun sehingga sebati. 

2. Masukkan tepung sagu sedikit demi sedikit ke dalam mesin pengadun sehingga sebati 

3. Masukkan telur dan gaulkan sehingga rata 

4. Campurkan serbuk kunyit adabi sehingga rata 

5. Adunkan bahan-bahan tersebut hingga sebati (proses ini mengambil masa selama 10 minit) 


6. Sementara bahan diadun, mesin pembakar perlu dipanaskan 




Proses 2 

Proses meleceh
1. Masukkan dalam bekas adunan yang telah siap, 
2. Tebarkan daun pisang emas yang lebar


3. Letakkan dua senduk adunan atas daun

4. Ambil plastik putih,letak atas daun.
5. Ambil botol, lenyekkan bahan di atas daun pisang guna botol sehingga rata.
6. Lenyekkan yang diperlukan adalah nipis tidak nipis mengikut saiz daun.



7. Adunan yang telah dilenyekkan tadi dikeluarkan dari dalam tempat pembakaran.



Proses 3 

1. Adunan yang telah dilenyekkan tadi dibakar didalam tempat pembakaran. 


2. Selepas 15 minit, angkatkan adunan tersebut dan terbalikkan di atas para.Tanggalkan daun pisang emas.
3. Selepas adunan sejuk seketika, potong adunan dalam bentuk segi empat tepat. Letakkan ke tepi dan biarkan untuk seketika .(Adunan perlu dibakar separuh masak dengan menggunakan kayu api. 


4. Tabaloi yang telah dipotong akan diletakkan di atas para mesin pembakar sehingga betul garing.(Proses ini akan mengambil masa selama 15 minit).
5. Keseluruhan proses akan mengambil masa 30 minit. 



Proses 4
1. Angkatkan kepingan-kepingan Tabaloi yang telah kering dan tindihkan dengan seterika yang berat selama 5 minit. Pastikan Tabaloi berada dalam keadaan yang panas semasa ditindih dengan seterika. 




Proses 5 

Bungkus tabaloi dalam plastik dalam kemas. 
Susun dalam kotak dan siap untuk di pasarkan. 




Peralatan Untuk memasak tabaloi: 
Mesin pengadun 
mesin pengisar kelapa 
Ketuhar gelombang 
Tempat membakar 
Botol 
Plastik 
Seterika 
Mesin pemotong tabaloi 


Pengusaha telah memilih untuk menjalankan perusahaan Tabaloi kerana Tabaloi menjadi ekonomi utama keluarga mereka sejak turun temurun. Pengusaha turut merasakan Tabaloi berpontensi untuk menaikkan taraf hidup mereka. Hal ini kerana Tabaloi amat berpontensi sebagai makanan ringan. Pn Fatimah masih lagi menggunakan cara tradisional dalam pembuatan Tabaloi kerana cara ini akan menghasilkan rasa dan aroma Tabaloi yang lebih asli. Pengusaha Tabaloi ini menjelaskan bahawa mereka telah mendapat keuntungan yang lumayan hasil daripada jualan Tabaloi. Pengusaha Tabaloi memasarkan hasil produk mereka ke seluruh negeri Sarawak. Perusahaan mereka turut dibantu oleh kerajaan dibawah persatuan peladang dan JKKK kampung. 

Menurut Puan Fatimah, perusahaan mereka dapat menghasilkan kepingan Tabaloi dalam lebih kurang 1055 keping sehari. Walaupun mereka mendapat keuntungan yang lumayan, namun masih terdapat masalah teknikal yang dihadapi iaitu kelapa, daun pisang dan kayu api agak sukar diperolehi disebabkan kadar harga yang tinggi. Mereka turut menghadapi masalah untuk mendapatkan tanda halal daripada pihak Jakim. Hal ini menyebabkan mereka tidak dapat memasarkan Tabaloi dengan lebih komersial sehingga ke Semenanjung Malaysia. Menurut Puan Fatimah, kilang tabaloi yang disewanya adalah berkadar Rm 10 sehari manakala kadar sewa parut kelapa pula adalah sebanyak 20sen untuk 1kilo kelapa. Mereka tidak membeli mesin pengisar sendiri atau membuka bangunan kilang sendiri walaupun mereka mendapat keuntungan yang lumayan daripada hasil jualan Tabaloi.

Tabaloi mempunyai banyak keistimewaan. Salah satu daripadanya ialah makanan ini telah lama dianggap sebagai makanan ringan dalam kalangan masyarakat Melanau. Tabaloi ini telah diturunkan secara turun temurun dari satu generasi kepada satu generasi. Selain itu, Tabaloi juga mempunyai pelbagai perisa yang diminati ramai. Walau bagaimanapun, Tabaloi yang berperisa asli masih lagi mendapat tempat di hati masyarakat. Keistimewaan makanan ringan ini juga Tabaloi tidak mempunyai sebarang perisa tiruan malah dihasilkan tanpa menggunakan minyak. Tabaloi sangat berkhasiat kerana mengandungi karbohidrat. Ramai pengusaha Tabaloi menggunakan cara moden iaitu dengan menggunakan mesin ketuhar. Walau bagaimanapun, penggunaaan peralatan moden seperti ketuhar akan mengurangkan aroma dan keenakkan rasa Tabaloi. Keistimewaan tabaloi juga makanan ini mampu bertahan dalam jangka masa yang lama kerana produk ini sentiasa berada dalam keadaan kering.