Adat Bermukun

Masyarakat Melayu Sarawak mempunyai pelbagai aktiviti-aktiviti kesenian yang berteraskan adat dan budaya. Selain itu, masyarakat Sarawak mempunyai sastera rakyat seperti lagu, tradisi dan pelbagai permainan, Adat bermukun atau bergendang adalah salah satu tradisi yang paling popular di kalangan masyarakat melayu Sarawak termasuklah kaum Melanau.

            Bermukun atau bergendang adalah salah satu adat yang merupakan khazanah budaya dan kesenian yang diwarisi masyarakat Melayu Sarawak daripada nenek moyang mereka. Aktiviti ini sangat unik kerana mempunyai keistimewaan tersendiri sebagai aktiviti bersuka ria yang diadakan dalam keadaan terbuka dan terang di khalayak orang ramai.

Masyarakat kaum Melanau mempunyai adat bermukun yang masih diamalkan. Kebiasaannya, adat bermukun bagi kaum Melanau diadakan ketika malam majlis perkahwinan selepas persandingan dilangsungkan. Aktiviti ini dijalankan seperti berpantun, berjoget, dan berkaraoke. Selain itu, aktitiviti ini, dapat mengeratkan hubungan silaraturahim orang kampung, dapat berkerjasama antara satu sama lain dan dapat mengenali budaya serta adat tersebut.


Fig. 1 Wanita yang sedang memukul gendang sambil berpantun.

Aktiviti bermukun ini, dikendalikan dikalangan wanita seramai dua atau lebih yang duduk di bahagian balik tabir untuk  memukul gendang sambil berpantun. Mereka ini dipanggil atau dikenali sebagai ‘tukang bergendang’ atau ‘seh bergendang’. Kaum lelaki pula akan duduk secara berselerak mengikut kesesuaian atau keselesaan masing-masing di luar tabir. Namun begitu, mereka meninggalkan ruang di bahagian tengah berdekatan tabir sebagai gelanggang tarian. Aktiviti ini dilakukan secara bergilir-gilir dengan pasangan masing-masing. Kaum lelaki berperanan bermain biola mengiringi seh bergendang untuk menjadikan irama lebih menarik dan merdu. Selain itu, penggesek biola yang akan menjadi ikutan seh bergendang ketika berpantun dan bermukun. Kebiasaannya aktiviti ini berlangsung sepanjang malam hinggalah ke subur mengikut kehendak atau kemampuan seh bergendang dengan keizinan tuan rumah.
  
Aktiviti ini dilangsungkan adalah untuk bersuka ria, secara tidak langsung menjadi temasya muda-mudi mencari pasangan ketika berjoget. Aktiviti ini juga, dilangsungkan untuk pihak lelaki mencari dan mengenali gadis idaman mereka. Secara tradisi, apabila pihak lelaki sudah berkenan atau suka dengan wanita tersebut, pihak lelaki akan menyusul dengan majlis merisik dan meminang.


 Fig. 2 Peralatan yang digunakan semasa majlis bermukun.

 Fig. 3 Persiapan peralatan yang digunakan.

 Fig. 4 Antara pemain biola pada majlis bermukun diadakan.


Peralatan untuk aktiviti bermukun atau bergendang ini seperti gendang, biola, gong dan sidak. Sidak adalah sejenis alat iaitu lengkungan rotan untuk menegangkan kulit kambing agar bunyi gendang yang terhasil itu kuat ketika dipukul. Ada juga sidak yang menggunakan kulit kayu yang dipintal seperti tali rotan, tetapi peralatan ini sukar dicari dan diperolehi. Peralatan ini adalah sangat penting dalam melakukan aktiviti bermukun ini.

Secara kesimpulannya, aktiviti bermukun atau bergendang sungguh popular dikalangan masyarakat Sarawak yang amat digemari serta sering diadakan pada majlis keramaian seperti perkahwinan dan berkhatan bagi menghiburkan tetamu yang hadir. Aktiviti bermukun ini bukan hanya untuk masyarakat Melanau yang menjadikan aktiviti bermukun ini sebagai hiburan tetapi kaum Bidayuh juga turut mengamalkannya. 


Fig. 5 Kegembiraan orang ramai ketika berjoget pada majlis bermukun.